Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah PPK Selangor, Dr. Abdul Razak Kasbollah berkata, untuk tujuan itu, pihaknya sudah mengenal pasti lebih 10 pengusaha tanaman berkenaan di Kuala Langat bagi menyediakan bekalan secukupnya.

“Sebelum ini sirih diusahakan oleh petani tradisi dalam kalangan masyarakat India di daerah Kuala Langat. Kita lihat potensi untuk sirih diusahakan secara komersial apabila permintaan terhadap tumbuhan ini semakin meningkat.

“Sehubungan itu, kita berharap pihak berkuasa berkaitan dapat membantu golongan pengusaha sirih melalui Tabung Agropreneur Muda untuk mendapat dana bagi membesarkan kawasan tanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Peladang Negeri Selangor di Wisma PKPS di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Ahmad Fuad Zakaria.

Abdul Razak menambah, pihaknya juga berhasrat memasarkan daun sirih di Pasar Borong Selangor selain pasar raya besar lain yang sedang dikenal pasti.

“Segala kerja pembungkusan akan dilakukan sendiri oleh petani terlibat dan kita akan membantu memasarkannya melalui Pusat Pengumpulan Hasil Ladang di Telok Panglima Garang di sini.

“Sebelum ini Kuala Langat dikenali dengan hasil pengeluaran cili merah berkualiti tinggi, namun dengan adanya sirih, ia bakal menjadi pusat penghasilan sirih pula,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE