Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, beberapa program baharu juga sudah diperkenalkan antaranya program Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) sejak tahun lalu.

Menurutnya, silibus pendidikan Kemas juga telah menerima pengiktirafan daripada Majalah Antarabangsa, Reader Digest pada 2017.

“Apa yang kita tekankan sekarang bukan sahaja dari segi akademik tetapi lebih penting nilai-nilai murni kerana anak-anak perlu dididik untuk hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk.

“Kita juga melaksanakan program-program tambahan baru seperti galak mereka berfikir secara kritis dan aktiviti seperti pertanian yang berkisar mengenai kehidupan seharian selain silibus akademik,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Prowheels (M) Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Rina mengulas laporan akhbar berkaitan silibus Kemas yang didakwa kurang bermutu sehingga terdapat ibu bapa termasuk dalam kalangan B40 memilih untuk menghantar anak masing-masing ke tadika swasta.

Katanya, tabika Kemas yang dikhususkan di kawasan luar bandar, menawarkan yuran yang paling murah iaitu bermula RM25 sebulan, namun ibu bapa yang menentukan sama ada mahu menghantar anak mereka ke tadika swasta atau Kemas.

“Malah, kalau dilihat tabika Kemas memang banyak permintaan dan ibu bapa yang pilih tadika swasta mungkin atas faktor tertentu, tetapi di Kemas bayaran sangat murah dengan kualiti sama seperti ditawarkan pihak swasta,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ujar Rina, sebanyak 66 buah tabika transit Kemas sudah beroperasi tahun ini bagi membantu ibu bapa yang perlu bekerja menghantar anak masing-masing ke pusat asuhan.

“Kita menyasarkan 78 tabika itu dapat beroperasi menjelang hujung tahun ini dan tidak menolak kemungkinan jumlahnya akan ditambah lagi berdasarkan permintaan daripada golongan ibu bapa,” katanya. - UTUSAN ONLINE