Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kemas kini itu dilakukan bagi memastikan pelatih Kor Suksis sentiasa peka dengan undang-undang yang baharu digubal di negara ini serta menambah ilmu kepada para pelatih.

"Pada tahun ini juga silibus Kor Suksis telah dibuat penambahbaikan, ini kerana ada undang-undang yang telah dimansuhkan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih ada di dalam silibus lama.

"Di dalam silibus baharu ini kita masukkan dari sudut pembelajaran undang-undang pencegahan yang lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis perbarisan tamat latihan dan pemeriksaan barisan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) di Padang Kawat USM.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, seramai 1,167 pelatih Kor Suksis dari 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Kor Suksis.

"Mereka yang telah menerima tauliah pelantikan hari ini diharapkan dapat menjadi contoh yang baik kepada orang lain.

"Terapkan displin serta ilmu yang telah dipelajari di mana-mana sahaja walaupun tidak bergelar anggota polis selepas ini," katanya. - UTUSAN ONLINE