HASNAN ABDUL KUDUS
HASNAN

Salah seorang kariah masjid tersebut, Hasnan Abdul Kudus,57, berkata, dalam pertemuan dengan Mohd. Asri pada 8 Januari lalu, rakannya yang juga merupakan bekas setiausaha masjid itu hanya meluahkan kebimbangan jika berlaku perkara tersebut.

Katanya, isu pecat memecat bukan perkara baharu di masjid berkenaan dan pihaknya hanya bimbang jika ada dalam kalangan jemaah yang tidak berpuas hati tindakan pemecatan imam lama tersebut.

“Bukan kita hendak buat (sihir) kita cuma bimbang perkara itu berlaku. Kami juga pegang kepada ajaran al-Quran dan sunnah, takkan kami sanggup melakukan perkara tersebut.

“Kenyataan mufti seolah-olah kami hendak lakukan sihir terhadap imam baharu itu adalah tidak benar sama sekali," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Mohd. Asri dalam video kuliahnya yang dikongsi dalam Facebooknya hari ini mendedahkan ada kariah di salah sebuah masjid mengugut boleh melakukan sihir terhadap imam yang baru dilantik di masjid berkenaan.

Mohd. Asri dilaporkan berkata, situasi itu berlaku ketika mereka datang bertemunya baru-baru ini bagi meminta supaya imam lama masjid berkenaan dikembalikan.

Sementara itu, Hasnan berkata, tindakan memecat imam masjid tersebut baru-baru ini telah menyebabkan ikatan ukhwah yang terjalin baik selama ini sedikit terjejas.

Katanya, rata-rata kariah masih tidak berpuas hati dengan tindakan pemecatan imam tersebut.

ZAINOL ABIDIN AHMAD
ZAINOL ABIDIN

Dalam pada itu, seorang lagi kariah, Zainol Abidin Ahmad, 69, berkata, pihaknya masih belum mendapat penjelasan jelas daripada mufti negeri adakah amalan yang mereka amalkan selama ini adalah sesat iaitu baca bismillah, wirid dan doa secara kuat.

“Adakah amalan itu tidak dibenarkan di dalam Islam, mufti masih belum menjawab mengenainya sebaliknya hanya mengulangi pemecatan imam itu adalah disebabkan faktor umur, disiplin, politik dan elaun," katanya. - UTUSAN ONLINE