Sementara itu, perasaan cinta dan kesetiaan membuta tuli terhadap pasangan mereka yang mengambil dadah, dikatakan menjadi pendorong kepada golongan wanita di negeri ini untuk bersubahat dan seterusnya terjebak sebagai penagih dadah baharu.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Rohayu Ahmad berkata, penglibatan murid sekolah rendah serta golongan wanita dengan dadah kini menjadi satu fenomena negatif yang semakin membimbangkan di Kelantan.

Buktinya kata beliau, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, semakin ramai penagih remaja membuat pengakuan kepada pihaknya bahawa mereka mula mengambil dadah ketika berada di bangku sekolah rendah iaitu seawal usia 10 tahun.

“Buat masa ini, saya tidak dapat dedahkan angka sebenar golongan ini terlibat dengan penagihan dadah, namun apa yang boleh kita rumuskan, perkembangan ini sangat membimbangkan.


“Peratusan penagih wanita pula didapati tidak berkurangan, sebaliknya bergerak seiring dengan peningkatan bilangan penagih dadah baharu. Setakat ini, 99 peratus penagih dadah di Kelantan adalah lelaki manakala wanita kekal satu peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Amanat Mufti Kepada OKP (Orang Kena Pengawasan) anjuran bersama AADK Kota Bharu, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Jabatan Mufti Kelantan, di sini hari ini.

Program bual bicara keagamaan, kerohanian dan motivasi itu melibatkan penyertaan seramai 413 OKP dari seluruh daerah ini.

Rohayu dalam pada itu memberitahu, setakat Oktober lalu, jumlah OKP di seluruh negeri ini mencecah 8,115 orang dan Kota Bharu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 1,597 OKP. - UTUSAN ONLINE