Jurucakap Rapid Ferry berkata, berdasarkan siasatan, salah seorang penumpang Feri Pulau Undan yang sedang dalam perjalanan ke Pangkalan Sultan Abdul Halim telah melihat seorang individu sedang lemas di laut.

"Penumpang tersebut memberitahu mangsa berada jauh dari kedudukan feri ketika kejadian.

"Susulan dari itu, penumpang terbabit bertindak memaklumkan krew feri dan kapten feri segera memaklumkan kejadian kepada pusat kawalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan krew Pulau Undan cuba menyelamatkan mangsa dengan mencampakkan pelampung namun mangsa kemudiannya hilang dan tidak dapat dikesan.

Dalam pada itu, Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penumpang yang dipercayai terjatuh dari Feri Pulau Undan di sini hari ini ditangguhkan pada pukul 7.30 malam ini.

"Operasi SAR itu akan disambung semula pada pukul 7.30 pagi esok," katanya. - UTUSAN ONLINE