Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, setakat ini, tiada keperluan berbuat demikian memandangkan perkara tersebut belum dirujuk kepada pihaknya.

Beliau juga menegaskan, pihak kementerian atau mana-mana agensi di bawahnya tidak melakukan pemantauan atau intipan terhadap akaun media sosial mana-mana individu, lebih-lebih lagi pihak istana.

"Kita memang tidak pantau kerana tidak mahu ganggu privasi orang lain, asalkan dia tidak buat perkara menyalahi undang-undang.

"Malah, Ketua Polis Negara sudah beri jaminan perkara itu tidak berlaku," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Rakyat sempena Awal Muharam di Kubang Kerian, di sini hari ini.

Kelmarin, Tunku Ismail mendakwa media sosial milik beliau dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diintip menggunakan teknologi buatan Israel.

Perkara itu didedahkan menerusi akaun Facebook rasmi baginda, HRH Crown Prince of Johor.

Baginda juga mendakwa ramai askar maya ditempatkan di laman sosial milik pasukan Johor Darul Takzim (JDT). - UTUSAN ONLINE