Malah dalam ucapan itu juga Azmin turut menegaskan bahawa kesetiaan beliau ada batasannya seolah-olah merujuk kepada individu tertentu.

"Saya berjanji apa pun serangan yang dilemparkan saya tetap akan bangkit melawan. Biarkan saya sebatang kara.

"Biarkan saya berlawan dengan manusia yang pernah saya kenali sebelum ini. Kesetiaan kita ada batasnya," katanya kepada lebih seribu hadirin yang hadir pada majlis tersebut.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Adun Gombak Setia, Hilman Idham; Exco Pulau Pinang, Afif Bahardin; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Exco Selangor Elizabeth Wong; Menteri Luar Negara, Saifuddin Abdullah dan Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya dan Khairuddin Abu Hassan turut hadir.

Mohamed Azmin berkata, beliau sedia menerima ujian yang mana bukan pertama kali namun berharap ia tidak akan berulang.

"Kerana nafsu serakah dan kerakusan, manusia sanggup membunuh karier politik seseorang.

"Saya tak akan berganjak, walapun saya dihina dan diaibkan seberapa lama, dengan doa dan sokongan rakyat Malaysia saya akan berdiri tegak.

"Dosa saya hanya satu, saya ini bukanlah boleh dicucuk hidung, bukan boleh diheret begitu saja," katanya.

Menteri Hal Ehwal ekonomi itu menyuarakan rasa syukurnya apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul hamid Bador mengesahkan pelaku dalam video seks itu bukanlah dirinya.

“Malahan ketua polis negara sendiri sahkan ada tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu untuk menjatuhkan saya," katanya.