Farid Kamil Zahari, 36, yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) itu berkata, kecaman itu wujud disebabkan netizen tidak mempunyai sebarang ilmu atau pembelajaran khusus tentang adat-adat Kesultanan Melayu Pahang.

“Siapa netizen itu (yang mengecam)? Yang memberikan penganugerahan itu adalah atas titah Sultan Pahang.

“Saya berharap mereka lebih baik diam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Selain Farid Kamil, pelakon kelahiran Singapura, Aaron Aziz turut menerima DIMP yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam istiadat kali ini, seramai 167 penerima menerima pingat dan darjah kebesaran dengan 21 penerima dianugerahkan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri; lima penerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dengan gelaran Datuk Indera.

Manakala, seramai 12 penerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan 78 penerima DIMP dengan kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, seramai enam orang pula menerima Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) (lapan orang) dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) (20 orang), sembilan enam orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan 13 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK). - UTUSAN ONLINE