Namun, pada awal tahun 2000, perniagaan bundle menjadi eksklusif. Nilai barangan berjenama melebihi 25 tahun mendadak diminati dan harganya melambung tinggi sebagai senarai vintaj.

Sehelai jeans Levis keluaran awal tahun enam puluhan dengan butang nombor lima, mencecah harga RM20 ribu sekiranya kualiti masih baik.

Manakala, topi keledar keluaran tahun lapan puluhan, yang dulunya berharga sekitar RM150, kini dijual dalam pasaran vintaj dengan harga antara RM3 ribu hingga RM5 ribu.

Malah, permintaan yang semakin tinggi sekarang di kalangan peminat motorsikal menyebabkan harga jenama topi keledar vintaj keluaran Jepun kini terus melambung.

Sepasang kasut Adidas keluaran era Made In East Germany atau Yugoslavia, kini mencecah harga RM1 ribu. Nilainya pada sejarah penting kerana kini kedua-dua negara tersebut telah ‘lenyap’ daripada peta dunia.

Bundle dan vintaj kini trend perniagaan yang berdaya maju. Malah, aliran masuk jenama-jenama elit ke pasaran pakaian terpakai termasuk RL, LV, Rolex dan Taq Heuer menyebabkan bisnes ini berkembang semakin pesat.

Pasaran terpakai produk jenama elit dengan harga yang rendah berbanding harga butik eksklusif menyebabkan pemburu jenama beralih arah dan berpusu-pusu ke butik bundle.

Justeru, lima tahun lalu, Shahrizal Mat Zin mengambil langkah berani dengan melaburkan sekitar RM50 ribu untuk memulakan perniagaan barangan vintaj dan terpakai (bundle).

 

“Dulu, tahun sembilan puluhan saya hanya cari makan di Pasar Karat Jalan Petaling. Tetapi demand yang tinggi menyebabkan saya yakin beralih ke premis tetap,” kata Shahrizal.

Kemahirannya dalam urus niaga jam berjenama terpakai serta minat mendalam pada koleksi pakaian bundle membuatkan anak Kampung Pasir, Jalan Kelang Lama ini, mahu memiliki kedai sendiri.

Pengalaman lebih 20 tahun dalam pasaran vintaj dan bundle menyebabkan Shahrizal yakin, sudah tiba masa untuk mempunyai kedai sendiri. Sekali gus, mengakhiri era meniaga di tepi-tepi jalan sepanjang Pasar Karat Jalan Petaling atau pasar pagi di sekitar Lembah Kelang.

“Sejak 2010, koleksi barangan berjenama terpakai terutama pakaian, jam, cincin dan beg sedang memuncak dan memiliki peminat luar biasa,” kata Shahrizal.

Baju T berposter band terkenal boleh dijual antara RM80 hingga RM2 ribu. Makin lama tahun keluaran koleksi yang diperolehi, makin tinggi harga dan banyak peminatnya.

Walaupun Komplek Campbell Jalan Dang Wangi dijadikan pusat peminat bundle di Kuala Lumpur, Shahrizal memilih tapak di sekitar Kampung Baru kerana mahukan waktu perniagaan lebih fleksibel.

“Saya pilih kedai di Jalan Raja Muda Abdul Aziz kerana akses peminat bundle ke sini mudah dan boleh berniaga hingga lepas tengah malam,” kata Shahrizal.

Garasi Republik KL antara kedai bundle yang terkenal di Kuala Lumpur. Satu antara puluhan usahawan bundle yang hampir 100% diusahakan anak Melayu.

“Garasi Republik KL dibuka dari jam 2.00 petang hingga 3.00 pagi,” katanya.

Sejak 2014, Garasi Republik KL yang memfokuskan perniagaan pada baju jenama RL dan jam koleksi pelbagai jenama. Harga pula sekitar RM100 berharga hingga RM2 ribu.

 

Selain jam berjenama, Shahrizal mahir dalam urusan barangan dan produk vintaj motorsikal. Satu lagi kebolehan yang menjana peluang bagi perniagaan topi keledar dan jaket penunggang motorsikal.

Shahrizal mengembara jauh sampai ke Aranyaphratet di Thailand, Siem Reap dan Phnom Pehn di Kemboja, Jakarta dan Padang di Indonesia dalam proses mencari barangan terpakai untuk dijual semula.

Bagi Shahrizal, kemahirannya membaik pulih jam antik, kekal membantu pendapatannya. Paling tidak untuk membayar sewa kedai.

Selain mencari pendapatan dengan mula mempromosi barangan Garasi Republik KL secara online. - UTUSAN ONLINE