Berikutan keputusan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sah memegang jawatan berkenaan selepas mengangkat sumpah pada malam 12 Mei lalu.

Hakim Datuk Yew Jin Kie menolak saman Musa dengan kos RM30,000 yang perlu dibayar oleh plaintif itu kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd. Shafie yang masing-masing merupakan defendan pertama dan kedua.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keputusan itu dibuat memandangkan Musa yang terlebih dahulu dilantik sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu telah kehilangan sokongan majoriti apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengumumkan keluar parti dan menyokong Mohd. Shafie.

“Tidak ada tetapan mandatori bahawa kehilangan sokongan plaintif perlu dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Plaintif yang enggan meletakkan jawatan boleh dianggap telah mengosongkan jawatan itu berserta kesemua Kabinet yang dilantik dan defendan pertama berhak melantik defen­dan kedua ke jawatan itu,” kata Hakim Jin Kie.

Menurut beliau, Juhar juga telah terlebih dahulu memaklumkan kepada Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga pada pagi 12 Mei lalu bahawa beliau perlu meletakkan jawatan dan akan melantik Mohd. Shafie menggantikannya.

Pada 10 Mei lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas BN yang memenangi 29 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang memiliki dua kerusi dan membentuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, tidak sampai 48 jam selepas itu, Juhar melantik pula Mohd. Shafie ke jawatan berkenaan berikutan tindakan enam ADUN yang menyokong beliau.

Susulan itu, pada 17 Mei lalu, Musa memfailkan saman berkenaan bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau Ketua Menteri yang sah.

Plaintif diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S. Vanugopal manakala Juhar dan Mohd. Shafie diwakili peguam Datuk Zaleha Rose Pandian, Da­yangku Fazidah Hatun Pangiran Bagul, Rafidah Maqbool Rahim serta Datuk Douglas Lind.

Mohd. Shafie bersama kesemua barisan Kabinet negeri turut hadir di mahkamah sepanjang keputusan tersebut dibacakan.