Semuanya bermula daripada komplikasi penyakit darah tinggi dan kencing manis yang dihadapi Cik Hasnah semasa mengandungkan anak bongsunya yang kini berusia lapan tahun dan ia bertambah buruk kira-kira empat bulan lalu apabila dia terkena serangan kedua.

Kini, Cik Hasnah menikmati makanan dengan minum susu yang disalurkan melalui tiub di hidung selain bertukar 'pampers' dewasa untuk membuang air yang kesemuanya dianggarkan menelan belanja antara RM800 ke RM900 sebulan.

Namun begitu, biarpun telah beberapa tahun berhenti kerja daripada menjalankan perniagaan sendiri ekoran mengambil keputusan menjaga ibunya yang kini telah meninggal dunia, Nor Azmi tabah menempuh segala dugaan hidup kerana merasakan Allah mempermudahkan segala aturan hidup dan rezeki untuknya.

"Ayah saya meninggal dunia disebabkan oleh barah usus. Namun, isteri saya dahulu sanggup tinggal di sini untuk menjaga mak ayah saya. Waktu itu, dia aktif memasak, buat kuih. Jadi, saya amat menghargai pengorbanan yang dilakukannya selama ini sejak kami berkahwin 23 tahun lalu.

"Kini, giliran saya pula menjaganya. Apabila saya tengok isteri, saya teringkatkan mak dan ayah yang sempat saya berjasa sehingga akhir hayat mereka," katanya Nor Azmi ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paloh di sini hari ini.

Kesusahan hidup Nor Azmi mendapat perhatian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ipoh Timur yang tampil memberikan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan melalui program jejak asnafnya, diketuai oleh Timbalan Ketua Srikandi Bersatu Perak, Puteri Holijah Muhamad Rali.

Dalam pada itu, Nor Azmi mengakui, dia ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM400 dan baru diluluskan permohonan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) selain dibantu oleh anaknya yang telah bekerja.

"Waktu emak saya sakit dahulu, isteri saya pula terkena strok. Tahun itu, saya tertekan sedikit kerana terdapat dua anak yang masih belajar di kolej.

"Namun, Allah permudahkan, apabila ada anak yang kebetulan mengambil bidang fisioterapi, dia juga banyak membantu menguruskan emaknya sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE