Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kenyataan berkaitan isu berkenaan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof adalah pandangan beliau tetapi negeri ini akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan.

“Itu pandangan yang berhormat menteri tetapi apa yang telah dilaksanakan di peringkat negeri khususnya Pahang, kita akan teruskan dan diperhalusi serta lebih berhemah.

“Ini supaya kita dapat membendung dan mengurangkan (jenayah syariah),” titah baginda selepas merasmikan Bengkel Catur Siri 1/2018 bagi pelajar peringkat negeri sempena Memuliakan ­Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika ditanya laporan media yang memetik kenyataan Mujahid bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid bagaimanapun tam­pil menafikan bahawa dirinya mengeluarkan kenyataan ber­kenaan dan me­nganggap ia dimanipulasi.

Tengku Abdullah bertitah, apa yang penting adalah sebarang serbuan atau tindakan penguatkuasaan syariah tidak boleh dilakukan secara melulu sebaliknya dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan seperti mendapat kelulusan polis dan pihak berkuasa tempatan.

“Saya dimaklumkan kalau hendak mengadakan serbuan itu perlu ada aduan, kelulusan polis dan pihak berkuasa tempatan. Bukan serbuan secara melulu, prosedur operasi stan­dard (SOP) mesti dikekalkan,” titah baginda.

Sementara itu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Me­layu Pahang (Muip) bertitah, lebih banyak program kesedaran akan diadakan agar masyarakat menjauhi semua bentuk jenayah syariah dan maksiat.

“Dengan adanya program kesedaran itu lebih baik daripada tindakan undang-undang,” titah baginda.