Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Land Cruiser bertembung dengan sebuah lori treler dari arah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu.

Pegawai Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ranau, Jaminak Kasuman berkata, mangsa Sulaiman Arianto, 28, yang merupakan pemandu kereta Toyota Land Cruiser maut di lokasi kejadian dipercayai tersepit.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 petang, BBP Ranau bergegas ke lokasi kejadian bersama lapan anggota dan dua buah jentera.

“Pasukan bomba kemudian membuat operasi mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaminak memberitahu, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat pada pukul 4.35 petang,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE