Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, suspek maut selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Kontinjen Selangor yang mengesannya di lokasi tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pada mulanya, pasukan D9 mengesan suspek yang menaiki sebuah kereta Honda Civic dan mengejarnya.

Menurut beliau, ketika sampai di kawasan Tesco di Bukit Beruntung, kereta suspek telah terbabas dan melanggar sebatang pokok.

“Suspek yang berusia 22 tahun kemudian keluar dari kenderaan dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan D9. Pasukan polis yang membalas tembakan berjaya menumpaskan suspek.

“Pemeriksaan awal ke atas mayat menjumpai se­pucuk pistol revolver berisi tiga butir peluru dan dua kelongsong serta sejumlah barangan kemas yang masih mempunyai label kedai emas yang disamun,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang semalam, dua penjenayah maut, manakala seorang lagi cedera ditembak anggota polis selepas suspek merompak sebuah kedai emas di Atria Shopping Gallery.

Polis turut memberkas tiga lagi penjenayah warga tempatan yang juga terlibat dalam rompakan yang sama.