Beliau berkata, atas sebab itu, bidang seni sentiasa menjadi perhatian utama kepada kerajaan sejak dahulu lagi melalui penubuhan Balai Seni Negara yang pertama di Jalan Ampang, setahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Kata beliau, kehebatan sesebuah seni adalah apabila kecantikan alam dan sekeliling boleh ditonjolkan seterusnya dihargai oleh pihak lain.

“Tiada negara yang boleh kata mereka sudah bertamadun tanpa memiliki seni tersendiri. Sebab itu walaupun negara berhasrat mencapai Wawasan 2020 dan masyarakatnya memiliki pendapatan bertambah tapi tanpa seni tersendiri, kita tidak boleh mendakwa telah bertamadun.

“Seni merupakan satu cara untuk memperlihatkan kecantikan alam sekeliling yang bukan sahaja dapat dilihat dengan mata kepala tapi hati seni yang lebih cekap dan nampak kecantikan tersebut untuk dihargai,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Balai Seni Negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Mohammadin Ketapi dan timbalannya, Wan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir berkata, Malaysia bertuah kerana mempunyai bangsa berbilang kaum, di mana setiap kaum dan etnik masing-masing mempunyai seni mereka yang tersendiri.

“Di Malaysia kita boleh lihat (seni) dari tiga kaum dan suku kaum yang lain. Bahkan Orang Asli di Malaysia dapat lihat kecantikan alam,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, pembelian seni seperti lukisan tidak pernah merugikan kerana nilainya semakin lama semakin tinggi, berbeza dengan pembelian kenderaan.

Justeru, beliau berharap para pengumpul seni dapat membeli lukisan di negara ini yang bukan hanya membantu pelukis-pelukis tempatan bahkan diri mereka sendiri. - UTUSAN ONLINE