Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menyeru supaya hukuman lebih keras termasuk menyenarai hitam dan menggantung lesen memandu selama enam bulan terhadap pesalah trafik yang masih menggunakan telefon bimbit.

Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, Malaysia sepatutnya mengikuti jejak langkah Australia dalam menguatkuasakan undang-undang terutama membabitkan kes jenayah.

Jelas beliau, seperti juga di Australia dan banyak negara lain, Malaysia juga berhadapan dengan masalah yang sama iaitu melibatkan peningkatan kesalahan trafik terutamanya penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

Menurut Jacob, Australia juga telah menguatkuasakan sistem baharu iaitu penggunaan telefon kamera khas bagi mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit di jalan raya sekali gus menjadi negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

“Menggunakan sistem radar, kamera yang dipasang boleh merakam pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu menerusi cermin sisi kenderaan. Langkah itu adalah bagi mengurangkan kecelakaan jalan raya kerana satu daripada empat kes kemalangan yang berlaku di negara itu berpunca daripada penggunaan telefon bimbit.

“Sikap pemandu yang mengambil mudah aspek keselamatan diri dan pengguna lain menyebabkan mereka tidak kisah tentang larangan penggunaan telefon bimbit malah setakat ini, denda RM300 bagi kesalahan itu seolah-olah sedikit pun tidak memberi kesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Mohammad Hisham Shafie meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya bertegas dalam melaksanakan saman maksimum RM300 serta-merta terhadap pesalah trafik yang melakukan enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat 14 2019 sempena Tahun Baharu Cina.

Cadangan itu hadir susulan daripada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang mengumumkan saman mandatori RM300 itu akan mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada 29 Januari hingga 12 Februari ini. - UTUSAN ONLINE