Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya semua pihak melakukan persiapan awal bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera ke kawasan yang terlibat banjir.

“Disebabkan faktor cuaca tidak menentu pada masa ini, adalah amat penting bagi semua pihak termasuk pasukan penyelamat supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Sultan Ibrahim berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh, dekat Batu Pahat.

Baginda turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka ketika berlaku banjir.

Titah Sultan Ibrahim, semasa berlaku bencana alam seumpama itu juga dapat melihat bagaimana rakyat tanpa mengira agama datang membantu antara satu sama lain, sekali gus mengukuhkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor. - UTUSAN ONLINE.