Zakir mendakwa, terdapat pihak-pihak yang terdesak menyaksikan ceramah beliau semata-mata mahu mencari kesalahan.

Namun ujarnya, mungkin mereka gagal mencari apa yang dihajati pihak-pihak berkenaan telah bertindak melakukan perkara tidak jujur.

"Sejak kelmarin, terdapat kempen di media menentang saya, berkenaan dakwaan yang dibuat di luar konteks dengan tujuan untuk menganiaya saya demi agenda politik.

"Perdana Menteri India mahukan saya, Perdana Menteri Malaysia tidak mahu ketidakadilan berlaku kepada saya. Hindu Malaysia kebanyakkan mereka menyokong Perdana Menteri

India," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, kenyataan Zakir yang mendakwa masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India berbanding Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Kulasegaran berkata, kenyataan itu tidak mencerminkan seorang warga asing yang diberikan status penduduk tetap di negara ini.

Baru-baru ini, Zakir dalam satu ceramah didakwa berkata, adalah malang kerana masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri, Narendra Modi berbanding Dr. Mahathir.

Zakir juga didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak sepenuhnya berbanding orang Islam di India. - UTUSAN ONLINE