Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Port Dickson, Azman Abdul Latiff berkata, mereka dikesan selepas pemeriksaan dibuat terhadap 326 buah premis sejak 30 Januari lalu.

"Sembilan peniaga tersebut didapati gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu dan masing-masing telah dikompaun sebanyak RM900.

"Kita melakukan pemeriksaan secara harian meliputi pemborong, premis runcit dan pasar raya dengan memfokuskan 13 barangan jenis yang dikuatkuasakan antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A,B dan C, kubis bulat import, bawang putih dan ikan bawal putih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di dua buah pasar raya di sini hari ini.

Azman memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung peniaga namun pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, pejabat KPDNHEP Port Dickson merekodkan sebanyak 165 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM181,171.51 yang melibatkan pelbagai kesalahan serta nilai kompaun sebanyak RM39,900. - UTUSAN ONLINE