Sebanyak 26 keping potret dipamerkan dalam Pameran Silat Ilmu Warisan yang diadakan bermula hari ini hingga 20 September nanti di galeri milik pelukisnya, Raja Azhar Idris.

Pameran lukisan oleh Raja Azhar diinspirasi menerusi tontonan dalam setiap pertunjukan silat yang dihadirinya lalu mencetus idea untuk 'meluahkan' minatnya terhadap seni mempertahankan diri itu dalam bentuk potret.

"Terdapat pelbagai jenis silat, begitu juga dengan pertunjukannya. Ada pertunjukan biasa-biasa sahaja, berbentuk hiburan dan juga persembahan yang serius.

"Jadi cara saya menzahirkan minat dalam menyemarakkan warisan silat dengan melalui lukisan yang boleh dilihat semua orang pada bila-bila masa," katanya ketika ditemubual Utusan Online sambil berbusana lengkap dengan bersampin dan bertanjak.

Turut hadir dalam pameran itu ialah rakan baikknya sendiri yang turut merasmikan pelancarannya iaitu Pengerusi Syarikat Air Selangor Holdings Sdn. Bhd. (Splash), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Menurut beliau, cetusan idea untuk mengadakan pameran itu selepas menghadiri salah satu pertunjukan silat di Ulu Licin berhampiran kampungnya di Beruas, Perak.

"Saya kagum melihat sebuah kawasan air terjun di sana dijadikan tempat untuk pesilat-pesilat berlatih silat sambil dikelilingi bunyi, air dan unggas dihutan.

"Kemudian saya lihat pertunjukan seperti Johor, Melaka dan merakam lebih 2,000 keping gambar sebelum memilih 26 yang terbaik untuk dijadikan ilham untuk melukis.

"Jika ada sesiapa yang berminat dengan hasil lukisan, saya buka ia untuk dijual dan setiap potret mempunyai harganya tersendiri. Selain itu saya juga pamerkan seni silat dalam bentuk arca kaca," ujarnya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE