Malah penyertaan orang ramai tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang dalam larian obor itu merupakan tanda sokongan rakyat Malaysia tidak berbelah bahagi terhadap temasya sukan dwi tahunan berkenaan.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea adalah pada 16 tahun lalu.

Terdahulu, Larian Obor KL2017 dimulakan di Dataran Gemilang pada pukul 7.30 pagi apabila obor dibawa menaiki belon udara panas oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Balan Mohan.

Beliau kemudian membawa turun obor itu

lalu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa untuk acara larian.

Ali bersama ketua-ketua setiausaha kementerian dan pegawai-pegawai kanan kerajaan diiringi pelari sokongan seterusnya berlari membawa obor sejauh 1.2 kilometer (km) menuju ke Wisma Tani.

Larian Obor KL2017 peringkat Putrajaya sejauh 7.7 km itu diteruskan melalui bangunan-bangunan ikonik negara antaranya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra.

Antara kenamaan tidak melepaskan peluang membawa obor ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Acara larian itu berakhir di Menara Kementerian Belia dan Sukan.

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini, manakala edisi kesembilan Sukan Para ASEAN diadakan dari 17 hingga 23 September.

Selain Kuala Lumpur, Putrajaya turut menjadi tumpuan KL2017 menerusi penganjuran beberapa acara sukan antaranya, polo, renang dan triathon. - UTUSAN ONLINE