Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kehidupan seharian, pendidikan mengenainya juga perlu diberikan pendedahan daripada peringkat awal.

"Saya difahamkan Kementerian Kesihatan memang ada Dasar Kesihatan Mental semenjak beberapa tahun.

"Kita perlu melihat kembali setakat mana dasar ini telah dapat terlaksana dan jika perlu menyemak kembali Dasar Kesihatan Mental dari segala aspek," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, beliau juga menyambut baik cadangan penubuhan Institut Kesihatan Mental untuk menjadi agensi utama di peringkat persekutuan dalam penyelidikan kesihatan mental.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita perlu merancang, bukan sahaja dari segi perkhidmatan yang diperlukan, penjagaan dan lain-lain, malahan lebih dari itu seperti langkah-langkah pencegahan, intervensi awal, pembinaan resilience (ketahanan diri) pengujudan “healthy future” (kesihatan masa hadapan) dan sebagainya," katanya. - UTUSAN ONLINE