AZIH MUDA

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, kali terakhir BIW yang melibatkan bayaran pada kadar 25 peratus daripada gaji minimum disemak ialah pada 1996 sedangkan gaji me­ngalami fasa perubahan pada era 1980-an, 1990-an, awal tahun 2000 hingga sekarang.

“Kami percaya dan yakin ke­rajaan hari ini amat memahami kesukaran kehidupan yang dialami penjawat-penjawat awam masa kini apabila kos sara hidup meningkat,” katanya kepada pem­berita selepasMajlis Bual Bi­cara Presiden CUEPACS bersama Kesatuan Guru Bumiputera Sa­rawak (KGBS) hari ini.

Menurutnya, apabila gaji mini­mum penjawat awam kini sudah meningkat RM1,200 kadar BIW semakin menurun malah ada dalam kalangan penjawat awam tidak layak lagi menerima BIW disebabkan gaji sudah tinggi.

Minggu lepas Azih dilapor meminta kerajaan menyemak semula elaun kos sara hidup (COLA) berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang dan membebankan penjawat awam di bandar-bandar utama memandangkan kali terakhir ia disemak ialah pada 2012 dengan tambahan RM50.

Sementara itu, Azih berkata, CUEPACS bimbang dengan prestasi dan produktiviti penjawat awam negara ini yang terjejas teruk akibat tahap stres mele­bihi 30 peratus yang berpunca daripada tekanan kerja.

Katanya, tahap stres tersebut boleh menyebabkan penjawat awam berkenaan menga­lami risiko kemurungan jika kerajaan tidak menanganinya pada kadar segera dan secara menyeluruh.

“Kebimbangan kami ialah ri­siko berlaku kemurungan kepada penjawat awam dan ini menyebabkan ramai memilih untuk bersara lebih awal kerana tidak boleh bertahan lagi berada dalam perkhidmatan mereka sebab rasa tertekan,” kata beliau.

Tekanan itu berlaku apabila penjawat awam terpaksa memi­kul bebanan tugas berlebihan disebabkan tiada pengambilan baharu bagi menggantikan me­reka yang bersara atau me­ninggal dunia. – BERNAMA