Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, KPDNHEP juga bertanggungjawab memastikan pemilik permit mematuhi syarat yang ditetapkan serta tidak membuat sebarang penindasan terhadap pengguna.

Tegasnya, ini termasuk sikap sebahagian penarik kenderaan yang bertindak ganas, berlagak samseng serta cuba menakut-nakutkan pemilik kenderaan. 

“Memang salah kalau gagal melunaskan hutang tetapi penarik kenderaan tidak boleh berlagak samseng sehingga sanggup mengejar pemilik kenderaan kerana tindakan itu boleh membahayakan kedua-dua pihak. 

“Setiap penarik kenderaan mempunyai permit EPS yang dikeluarkan KPDNHEP dan sebelum menarik kenderaan mereka perlu menunjukkan permit serta surat kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak bank,” katanya di dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie.

Baru-baru ini dalam media sosial tular satu rakaman video memaparkan Nadzim bersemuka dengan penarik kereta yang sedang mengejar sebuah kenderaan lain di lampu isyarat berhadapan Menara Celcom, Jalan Semarak, di sini 

Dalam video tersebut, penarik kenderaan gagal menunjukkan permit EPS serta surat kebenaran daripada bank untuk menarik kenderaan tersebut . - UTUSAN ONLINE