Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, walaupun kerajaan mengamalkan keterbukaan bersuara namun pengamal media khususnya perlu memastikan berita yang disampaikan tidak menggangu-gugat mana-mana pihak.

Tegasnya, beliau menyambut baik kebebasan tersebut namun mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu.

“Kita mengalu-alukan keterbukaan tersebut tetapi masing-masing perlu ada rasa tanggungjawab terhadap sesebuah maklumat.

“Apabila diberikan kebebasan jangan pula sampai menyebarkan berita palsu yang direka bagi tujuan tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Extra 2018 di sini hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Kembara Media Langkawi anjuran Jabatan Penerangan yang ditaja oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Extra merupakan kesinambungan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 yang berakhir 31 Ogos lalu.

Program itu melibatkan 180 peserta termasuk rakan media dan kumpulan kenderaan pacuan empat roda, Landy Lover Utara. - UTUSAN ONLINE