Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, siasatan terhadap Mohd. Shafie telah dijalankan menurut Seksyen 17a Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bermula 21 April tahun lalu dan dise­rahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan SPRM pada 23 Mei tahun ini.

‘‘Setelah meneliti semua kete­rangan, pendakwa raya memutuskan pada 20 Jun tahun ini bahawa tiada pendakwaan diteruskan atau No Futher Action (NFA) kerana bukti yang diperoleh tidak mencukupi bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu perkembangan terbaharu kes rasuah melibatkan Mohd Shafie.

Liew berkata, siasatan berhubung dana kerajaan berjumlah RM1.5 bilion yang dijalankan ke atas Ahli Parlimen Semporna itu dijalankan secara telus dan tiada layanan istimewa diberikan kepada Ketua Menteri Sabah itu.

‘‘Shafie ditahan SPRM pada 19 Oktober tahun lalu. Siasatan awal dijalankan melalui temu bual di pejabat SPRM Kota Kinabalu dan pada masa sama saya difahamkan SPRM telah ke rumah Shafie dan memeriksa akaun beliau, tidak ada duit yang dijumpai seperti yang didakwa, apa yang penting SPRM mengesahkan tiada bukti terhadap kes Shafie,’’ katanya.

habis