MOHD. IRFAN
MOHD. IRFAN

Mohd. Irfan, 26, yang menggelarkan dirinya Sifu Cempaka juga muncul secara 'live' selama kira-kira setengah jam hari ini untuk berinteraksi bersama pengguna Facebook serta menawarkan hadiah percuma kepada pelanggan setianya.

Bagaimanapun, dia tidak lagi menunjukkan wang tunai atau barangan berharga ketika kemunculannya kali ini.

Menurut Mohd. Irfan, kejadian kira-kira dua minggu lalu itu tidak melemahkan semangatnya untuk mencari rezeki berniaga di laman sosial.

Dalam masa sama, dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kejadian sama tidak berulang iaitu me­ngupah seorang pengawal pe­ribadi selain merahsiakan lokasinya berada.

“Saya diarahkan polis untuk tidak memberi kenyataan me­ngenai kes ini kerana siasatan masih dijalankan oleh polis. Saya juga perlu merahsiakan lokasi saya dan tidak boleh berjumpa sebarangan individu atas faktor keselamatan.

“Selepas kejadian itu, ramai yang mendoakan kesejahteraan saya. Yang mengecam pun ramai tetapi saya ambil yang positif sahaja. Alhamdulillah, hikmahnya, saya semakin dikenali dan perniagaan saya semakin maju,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terharu dengan penerimaan positif orang ramai, khususnya rakyat Kelantan terhadap produk keluaran syarikatnya, Sifu Kunyit Skincare, Mohd. Irfan merancang mengadakan kelas mengenai perniagaan dalam talian secara percuma dalam masa terdekat.

“Saya mahu kongsi ilmu yang ada ini dengan orang yang ikhlas menyokong saya dan mahu berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.15 malam, 26 Januari lalu, Mohd. Irfan cedera di betis kanan selepas ditembak sekumpulan perompak di pejabatnya di Banggol Kulim, Rantau Panjang selain kerugian barangan kemas bernilai RM150,000 akibat dilarikan penjenayah terbabit.