Beliau yang sedang menunggu untuk berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia - Thailand mengambil peluang bertanya khabar dan mengucapkan selamat pulang kepada 16 anggota pasukan berkenaan.

Majlis sambutan kepulangan dan pembubaran TPA M-12 telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Raja Mohamed Affandi berkata, pasukan berkenaan telah melaksanakan misi pemantauan selama 12 bulan sejak 14 Mac 2017 dan telah mempamerkan prestasi yang amat cemerlang.

"Ketua misi, Mejar Jeneral Datuk Masrani Paiman bersama 10 pegawai dan seorang anggota lain-lain pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua pegawai awam telah ditempatkan di empat sektor kawasan tanggungjawab.

"Kawasan-kawasan itu adalah Cotabato City, Iligan City, Zamboanga City dan General Santos City," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

TPA M-12 telah melaksanakan penugasan berdasarkan Term of Reference (TOR) untuk memantau perjanjian gencatan senjata yang melibatkan kerajaan Filipina dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Raja Mohamed Affandi menambah, sehingga kini pasukan itu telah berjaya menentukan proses damai berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

"TPA M-12 juga berjaya merapatkan lagi hubungan di antara kedua-dua pihak melalui Mesyuarat Tripatite dan Mesyuarat Bersama Coordination Committee on the Cessation of Hostilities (CCCH)," katanya. - UTUSAN ONLINE