Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, industri pelancongan turut meliputi bidang perkhidmatan yang luas dan kemudahan diperlukan adalah pelbagai serta mampu menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada semua lapisan penduduk. 


“Kejayaan daripada segi promosi pelancongan di sesebuah lokasi dikatakan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan tukaran wang asing, memperluaskan integriti budaya dan hubungan antarabangsa,” titah baginda.


Baginda bertitah demikian ketika berkenan menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat di Masjid Ubudiah, Pulau Koh Sing Hai, Wilayah Ranong, Thailand, semalam.


Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Imam masjid tersebut, Ahmad Ali Hussein dan penghulu kampung berkenaan, Zamrat Husin.


Turut mengiringi baginda ialah Gabenor Wilayah Ranong, Chatupot Piyamputra serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd. Noor.


Dalam pada itu, baginda juga tertarik apabila mengetahui bahawa kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu juga menjadi salah satu daripada kelebihan penduduk di Pulau Koh Sing Hai ini.


Sehubungan itu, baginda berharap agar penduduk di pulau itu dapat terus mempelajari dan mengusai Bahasa Melayu dengan lebih mendalam lagi dan ia seharusnya boleh dijadikan antara salah satu keunikan dan tarikan pelancong khasnya masyarakat Muslim dari negara-negara jiran.- UTUSAN ONLINE