Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, jumlah itu realistik untuk dicapai memandangkan perolehan yang dicatat bagi tempoh separuh pertama tahun ini (Januari hingga Jun) telah mencapai RM24 bilion.

Menurut beliau, sekiranya perkembangan positif sektor koperasi ini berterusan sehingga penghujung tahun, dijangkakan jumlahnya akan melonjak kepada RM48 bilion akhir tahun ini.

"Walaupun sasaran tahun ini adalah sekitar RM40 bilion ke RM42 bilion, namun ia dijangka melebihi angka tersebut selepas tamat tempoh separuh kedua tahun ini.

"Jadi kita yakin tiada masalah untuk mencapai sasaran RM48 perolehan sektor koperasi dari seluruh negara tahun ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Karnival Usahawan dan Koperasi Digital di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mohd. Redzuan berkata, jumlah itu dilihat satu perkembangan positif malah ia tidak jauh daripada sasaran SKM agar sektor sama mampu menyumbang perolehan sebanyak RM50 bilion menjelang 2020.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, sumbangan ekonomi digital negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 17.8 peratus pada 2015 dan dijangka mampu mencapai sasaran 18.2 peratus yang ditetapkan untuk 2020.

"Ini menunjukkan potensi besar yang dimiliki dalam bidang ekonomi digital negara pada masa depan dengan jangkaan 90 peratus populasi dunia memiliki dan menggunakan telefon pintar," ujarnya. - UTUSAN ONLINE