Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, salah satu contoh terbaik dilihat adalah Projek Agro Pelancongan Sepang yang digerakkan Kumpulan Belia Nelayan (Kubena) dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang.

Katanya, projek itu boleh dikembangkan lagi dengan mempelbagaikan perkhidmatan pelancongan dan menambahbaik kemudahan.

“Tarikan utama di sini selain tempat sesuai aktiviti memancing, terdapat juga pelbagai projek ekonomi yang mampu menjana ekonomi nelayan.

“Justeru itu, saya nampak agro pelancongan di sini sangat cantik dan bersih serta dimaklumkan setiap hujung minggu menerima banyak tempahan daripada pemancing, maka ia perlu menjadi contoh,” katanya ketika berucap dalam Majlis Lawatan Kerja dan Berbuka Puasa Bersama Nelayan Sepang di Sungai Pelek di sini hari ini.

Kata Salahuddin lagi, beliau melihat PNK mempunyai banyak potensi untuk menjana pendapatan termasuklah menceburi sektor agro pelancongan.

Sehubungan itu, beliau berharap LKIM dapat membangunkan satu pelan agar usaha itu dapat dilaksanakan dengan segera.

“Saya tidak mahu PNK tumpu kepada bidang sahaja iaitu dengan menjual minyak, tetapi perlulah ruang skop ini lebih meluas.

“Tetapi apabila hadir ke sini, saya dapati PNK telah membuktikan sebaliknya apabila berjaya membangunkan sektor agro pelancongan,” katanya.-UTUSAN ONLINE