Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, program KKP di sekolah dapat menyediakan pendidikan keselamatan yang lebih komprehensif di sekolah kerana menganggap sekolah sebagai tempat kerja dan tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

“Sehingga kini, kira-kira 50 buah sekolah telah menyertai program yang diadakan di bawah kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan sejak 2015 itu.

“Warga sekolah terutamanya pelajar perlu didedahkan kepada budaya keselamatan dan kesihatan yang baik kerana sekolah yang selamat bukan hanya bermakna bebas daripada masalah disiplin dan jenayah, tetapi turut melibatkan kemudahan dan budaya kerja yang tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tragedi seorang pelajar perempuan maut selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput yang tercabut dari sebuah traktor di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, semalam.

Kejadian pada pukul 10.30 pagi itu turut melibatkan dua lagi pelajar lelaki yang cedera selepas terkena bilah pisau tersebut. - UTUSAN ONLINE