Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam sebuah negara majmuk sepatutnya pihak pentadbiran sekolah perlu bertindak sebagai ejen pemurnian bagi mewujudkan perpaduan.

"Apa pun semua jenis peraturan dan urusan berkaitan sekolah ini tertakluk kepada perkeliling perkhidmatan sedia ada yang diguna pakai untuk semua sekolah.

"Kita tidak boleh buat lebih daripada yang ada dalam peraturan (ditetapkan Kementerian Pendidikan). Kalau kita buat sesuatu yang lebih (peraturan)... yang tiada pemurnian boleh menyebabkan masalah kerana kita dalam sebuah negara majmuk.

"Sensitiviti perlu dijaga... kalau nak buat sesuatu yang luar kotak, boleh tapi perlu ada pemurnian dan santun," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebuah sekolah yang mengasingkan cawan dengan melabel murid Islam dan murid bukan Islam yang diletakkan di sebelah mesin 'watercooler'. - UTUSAN ONLINE