Kejadian berhampiran ruang udara Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) itu berlaku selepas kedua-dua pesawat yang dijadualkan beraksi untuk Pasukan Aerobatik Jupiter bergesel sebelum terhempas.

Berikutan itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TNI-AU menubuhkan pasukan bersama bagi menyiasat punca nahas berkenaan.

Panglima Tentera Udara, JENE­RAL DATUK SERI ROSLAN SAAD ketika diwawancara wartawan Utusan Malaysia, SOFIAN BAHAROM berkata, insiden itu tidak langsung menjejaskan persiapan TUDM pada LIMA yang akan berlangsung bermula hari ini.

Katanya, segmen udara yang menjadi tulang belakang pameran udara dan maritim ketiga terbesar di dunia itu akan terus menampilkan persembahan terbaik selaras dengan status LIMA kali ini sebagai yang terbesar sejak penubuhannya.

Raptai segmen udara LIMA 2015 terganggu dengan insiden pergeseran pesawat aerobatik KTI-1 Woongbi milik TNI-AU, bagaimana TUDM bertindak berhubung insiden tersebut?

Sebagai penyelaras, TUDM telah memainkan peranan dalam mengatur gerak misi mencari dan menyelamat di kawasan sekitar. Semua perkara menjadi pertimbangan TUDM dalam sesuatu pameran udara.

Adakah insiden tersebut menjejaskan persiapan LIMA 2015?

Tidak. Kita akan teruskan persiapan. Warga TUDM telah bersedia untuk LIMA. Walaupun kita sedih terhadap apa yang berlaku tetapi persiapan perlu diteruskan, insya-Allah.

Apakah jangkaan TUDM pada LIMA 2015?

Saya telah memberitahu ketua-ketua industri untuk terus bekerjasama dalam menjayakan pa­meran ini. Kita perlu menampilkan persembahan terbaik selaras de­ngan status LIMA kali ini sebagai pameran terbesar.

Bagaimana dengan motivasi kesemua pihak terlibat pada LIMA 2015?

Kita bersemangat tinggi, kita mahu pameran ini mencapai matlamatnya. Saya telah memberi kata-kata motivasi kepada mereka yang terlibat agar melakukan terbaik.

Apakah harapan TUDM pada segmen udara di sepanjang LIMA ini?

Saya harap persembahan dan pameran yang ditonjolkan pada kali ini memberi nilai tambah kepada semua pihak yang terlibat. Apa yang penting, LIMA 2015 pastinya memberi manfaat yang tinggi kepada TUDM dan negara.