Sehubungan itu, beliau menasihat para peminjam agar membayar balik pinjaman supaya wang tersebut boleh digunakan untuk memberi pinjaman kepada pemohon baharu yang ingin memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

WAN SAIFUL WAN JAN
WAN SAIFUL WAN JAN 

Katanya, seramai 362,000 daripada 1.9 juta peminjam tidak membayar pinjaman dengan jumlah sebanyak RM2.6 bilion sejak tabung berkenaan ditubuhkan 21 tahun lalu.

“Kita perlu membayar balik pinjaman untuk membantu orang lain pula yang ingin pinjam. Jika seorang peminjam itu dikecualikan membayar balik pinjaman, bermakna seorang pelajar baharu tidak akan mendapat pinjaman,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Wan Saiful, pihak­nya masih mencari formula terbaik bagi meringankan beban peminjam supaya dapat membayar balik hutang selain tidak membebankan mereka.

“Peminjam harus sedar wang yang digunakan untuk memberi pinjaman telah di­pinjam oleh PTPTN daripada bank dan dikenakan faedah sebanyak lima peratus sedang­kan pelajar hanya perlu membayar faedah satu peratus sahaja kepada tabung berkenaan.

“Sehingga kini, PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman itu sahaja berjumlah RM12 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Wan Saiful yang juga penulis Buku Harapan telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi mereka yang bergaji bulanan bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

PTPTN selepas itu mengumumkan akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Ja­nuari 2019 serendah RM40 sebulan sehingga mencecah lebih RM1,000 mengikut paras gaji, bagaimanapun pelaksanaan itu terpaksa ditangguhkan selepas menerima reaksi negatif daripada orang ramai.