Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu penting kerana kerjasama tersebut dapat meningkatkan usaha pembinaan keyakinan, perkongsian maklumat serta kepakaran dalam bidang tertentu dan kegiatan teknologi antara satu sama lain.

Sehubungan itu, beliau menyeru negara ASEAN tanpa rasa gentar untuk bersama menyertai ke arah perkongsian dan kerjasama yang menyeluruh.

“Negara anggota ASEAN perlu terus terlibat di dalam dialog, membandingkan amalan terbaik, latihan dua hala dan pelbagai pihak.

“Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan memperjuangkan inisiatif rantau ini untuk menjadi blok serantau yang moden dan amat penting,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Panglima Tentera Udara di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Bertemakan Transformasi Angkatan Udara Dalam Perspektif ASEAN, persidangan itu merupakan sebahagian daripada program Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 yang bermula semalam dan berakhir Sabtu ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, negara anggota ASEAN tidak sepatutnya menolak dalam berkongsi aktiviti di peringkat domestik yang boleh memanfaatkan pihak yang terlibat.

Senario keselamatan global yang kompleks, katanya, menuntut sesebuah negara tidak lagi mampu menghadapi cabaran itu secara bersendirian.

“Ini adalah sebahagian daripada faktor mengapa anggota ASEAN atas kepentingan bersama di dalam keselamatan dan kepentingan rantau ini, perlu bekerjasama dan merangka penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi menjaga keselamatan kita sendiri,” kata beliau.