Baru sahaja ditubuhkan pada penghujung tahun lalu, Dominant yang terdiri daripada enam orang ahli itu bagaimanapun mengukuhkan pendirian mereka untuk terus memperjuangkan bakat yang dimiliki dalam lapangan muzik tempatan.

Vokalisnya, Jeff berkata, dia tidak gentar dengan persaingan yang wujud kerana kehadiran kumpulan itu diharap mampu memberi pilihan selain menambah warna kepada industri muzik tanah air.

“Kami sedar diri. Siapalah kami untuk bersaing dengan nama-nama gah yang sedang menguasai pentas muzik negara. Namun itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing yang telah ditentukan.

“Dominant mahu mengisi kekosongan yang ada. Itu sudah memadai. Bonus sekiranya pada usia begini, kami dapat menambat hati ramai peminat sekiranya perjuangan ini dihargai dan suka dengan lagu-lagu yang dinyanyikan.

“Bagi menyesuaikan keadaan, Dominant tampil dengan lagu-lagu berunsur nasihat dan ketuhanan, sesuai dengan usia kami. Namun kami bukanlah kumpulan nasyid,” ujarnya kepada Utusan Online.

Pada Mei lalu, Dominant baru sahaja melancarkan dua buah single sekali gus iaitu Mudahnya Kau Berubah dan Keagungan Kasihmu hasil ciptaan mereka sendiri. Pada masa yang sama, kedua-dua lagu tersebut turut disertakan dengan klip video yang telah dimuat naik di laman Youtube.

Menurut Jeff, pihaknya berbesar hati andai dapat berkolaborasi dengan penyanyi ternama untuk melonjakkan lagi portfolio Dominant.

“Kami tidak kisah jika ada pihak mengatakan Dominant mahu menumpang populariti kerana itu salah satu strategi pemasaran.

“Dominant juga terbuka untuk bekerjasama dengan artis-artis muda walaupun kami sudah berusia. Ego perlu diletak ke tepi untuk berjaya,” katanya.

Selain Jeff, kumpulan tersebut turut dianggotai oleh Dann (gitar), Niel (gitar kedua), Lee (bass), Nafee (keyboard) dan Am (dram). - UTUSAN ONLINE