Jemaah haji yang berpuasa sunat pada hari Isnin turut diraikan dengan pemberian pek makanan yang diedarkan melalui salah sebuah kedai makanan di sini.

Wakil SDARA, Mohd Farid Shah Mohd Basir berkata sumbangan ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Maal Hijrah 1440H. 

“Kami terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada jemaah ini yang berada dalam keadaan serba kekurangan. Namun begitu, iktibar penting yang dapat kita teledani ialah semangat dan keazaman mereka untuk melaksanakan ibadah melebihi segala-galanya.”

Katanya lagi ia bertepatan dengan saranan Imam Masjidil Haram dalam khutbah Jumaat pada minggu lepas yang antara lainnya menyatakan bahawa dalam menyambut tahun baru hijrah, kita perlu memperbaharui akhlak serta bersikap jujur dan ikhlas, selain memperbanyakkan puasa dalam bulan Muharam ini.

“Justeru, sumbangan seperti ini diharapkan dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk terus fokus beribadah dan pada masa yang sama berupaya memastikan kelangsungan kesejahteraan umat Islam sejagat” tambah beliau.

Inisiatif ini merupakan sumbangan kedua berturut-turut SDARA sempena musim haji tahun ini. Sebelum ini SDARA turut menyerahkan 56 unit kerusi roda kepada semua 18 bangunan kediaman maktab Tabung Haji.-UTUSAN ONLINE