Najib berkata, SBJK merupakan sebuah sekolah unik yang dibiayai kerajaan bagi membolehkan kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

“Apa yang saya umumkan sebelum ini iaitu RM30 juta untuk pembangunan SBJK hari ini telah menjadi realiti di mana November tahun depan blok akademik SBJK akan siap.

“Asrama pula dijangka siap pada 2020 dan SBJK ini akan mengtransformasikan kawasan Chow Kit menjadi kawasan pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak di sini,” katanya ketika berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalnathan dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

SBJK yang mula beroperasi pada 19 Ogos 2013 berdasarkan pendidikan alternatif kini mempunyai 152 pelajar dan 21 orang guru.

Penubuhannya merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan terhadap keperluan meneruskan usaha memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan di sekitar Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE