Malah kata beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga boleh membuat kaji selidik atau bancian sama ada orang ramai khususnya beragama Islam menyokong beliau atau Perdana Menteri dalam soal tersebut.

Katanya, meskipun Dr. Mahathir adalah tokoh besar namun beliau yakin pandangannya itu adalah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.

“Boleh buat kaji selidik, banyak netizen sokong apa saya kata termasuk daripada penyokong PH sendiri. Dalam isu ini, saya rasa beliau (Dr. Mahathir) tidak boleh menang dengan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Dr, Mahathir menyifatkan Mohd Asri sebagai ‘pekak’ kerana mendakwa kerajaan PH tidak mempertahankan Islam.

Pengerusi PH itu dilaporkan berkata, jika Mohd. Asri boleh mendengar, sudah tentu beliau tahu pelbagai usaha dilakukan kerajaan PH dalam menjaga Islam di negara ini.

Kenyataan Dr. Mahathir itu susulan kenyataan Mohd. Asri sebelum ini yang mendakwa suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, beliau menyuarakan apa yang umat Islam rasai sekarang di bawah kerajaan PH selepas pelbagai isu berbangkit berkaitan agama itu.

Katanya, banyak penghinaan terhadap Islam bukan sahaja datang daripada orang biasa malah melibatkan pemimpin politik.

“Dalam kes Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, Muhammad Zamri Vinoth... Dia diugut bunuh, begitu juga saya menerima ugutan sama, tetapi tidak ditangkap.

“Kenyataan beberapa pemimpin kerajaan seperti M. Kula Segaran, P. Waytha Moorthy yang berbentuk perkauman termasuk salah seorang Exco kerajaan Selangor yang berbangsa India sehingga mencetuskan rusuhan kuil baru-baru ini, juga tidak ditangkap.

“Semua orang Islam dapat merasai keresahan itu. Negara ini telah 60 tahun dalam keadaan harmoni walaupun ada beberapa isu berhubung perkauman namun situasinya tidak segetir sekarang,” katanya.- UTUSAN ONLINE