Salleh berkata, semua pihak diharap tidak terlalu mudah percaya perkara yang tular di media sosial berkenaan isu tersebut dan melihat secara lebih mendalam berasaskan fakta yang benar.

"Saya sudah agak daripada awal, pihak pembangkang akan menggunakan isu ini dan cuba untuk mengaitkan kononnya kapal tersebut dibiayai oleh 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sedangkan ia tiada kaitan langsung. Mereka tahu rakyat akan marah apabila mereka mengaitkannya dengan dana itu.

"Saya bukan mempertahankan Jho Low tetapi hanya menyatakan fakta atas laporan sebenar tentang isu tersebut yang kita semua boleh baca. Jadi saya harap semua individu atau mana-mana pihak jangan hanya melihat daripada satu sudut tetapi lihat secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Fintech Malaysia 2018, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mengatakan bahawa beliau mempertahankan Jho Low dengan membidas pembangkang yang menggunakan isu sitaan itu untuk mengelirukan rakyat dengan berita palsu. - UTUSAN ONLINE