Anwar malah menegaskan isu tersebut bukan melibatkan soal pampasan semata-mata tetapi meliputi pelbagai faktor lain termasuk soal memperkasakan ekonomi penduduk yang terlibat.

Jelas Anwar, pandangan konsultan yang terlibat dengan projek itu bahawa penduduk akan diberi pampasan disifatkan sebagai tidak munasabah kerana kawasan yang terlibat tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

"Saya kata sebaiknya ada rundingan dengan teliti. Kalau projek besar, kita tak boleh teruskan jika masyarakat terpaksa berpindah di pinggir hutan.

"Jika mahu diteruskan pun harus difikirkan keadaan kampung. Di Pulau Pinang ada tiga kampung Melayu dan 1 kampung Cina terlibat. Kita tak boleh lepaskan begitu sahaja.

"Kita harus fikir nak selamatkan kawasan itu atau ke kawasan baharu dengan memperkasakan mereka dari segi perumahan dan ekonomi. Jangan anggap mereka hanya orang kampung yang boleh diberi sedikit pampasan," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Anwar dilaporkan beberapa media sebagai berkata projek PSR yang mencetuskan kontroversi bernilai RM16 bilion itu perlu diberi kebenaran untuk diteruskan selagi penduduk terlibat menerima pampasan. - UTUSAN ONLINE