Dalam nada kecewa, Mohan Shan menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampau dan berlebih-lebihan sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa orang lain.

“Bomba datang untuk memberikan bantuan, kenapa mereka (perusuh) serang dia. Lihat apa yang berlaku, orang yang mahu memberikan bantuan dicederakan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Saya kecewa dan malu dengan kejadian tersebut. Semoga pihak polis dapat mencari dalang di sebalik kejadian ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi itu, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul apabila pasukannya tiba di lokasi kejadian.

Muhammad Adib yang berasal dari Kedah bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir Disember ini. - UTUSAN ONLINE