Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan beliau tidak boleh mengawal sesiapa pun termasuk peguam, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim berfikir tentang perkara berkenaan.

"Saya cakap kepada orang Islam kerana produk ini menimbulkan kekeliruan kepada mereka. Saya menteri yang menjaga hal ehwal agama sudah tentu mereka tanya. Jawapan saya begitulah.

"Apa yang dia (Siti Kasim) nak fikir selepas daripada itu adalah masalah dia. Masalah saya ialah nak jaga supaya orang Islam tak keliru. Itu sahaja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Siti Kasim dalam satu hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini meminta supaya Mujahid tidak menghina umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan isu arak tanpa alkohol.

Jelas peguam itu, kenyataan yang dikeluarkan Mujahid berkaitan isu tersebut menyebabkan umat Islam kini keliru dengan apa haram dan halal.

Semalam, Mujahid meminta syarikat pengeluar minuman keras tidak sesekali mengelirukan umat Islam dengan mengeluarkan produk minuman dan arak tanpa alkohol. - UTUSAN ONLINE