Beliau menjelaskan kehadirannya dalam mesyuarat itu sebagai pegawai undang-undang yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

"Pada Februari 2016, saya belum lagi dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, maka penglibatan saya bukanlah atas kapasiti atas jawatan itu seperti dilaporkan media.

"Lagi satu, saya ingin memperbetulkan laporan media, saya bukanlah saksi utama kerana sudah 15 saksi telah dipanggil membabitkan siasatan ini, jadi saya antara saksi terakhir," katanya ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli lagi, beliau telah memberikan kerjasama dengan baik kepada SPRM yang sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya, beliau mengesahkan tidak akan dipanggil lagi untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

Terdahulu, Dzulkifli yang memberikan keterangan selama lima jam kepada SPRM dilihat keluar pada pukul 3.30 petang.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terlibat dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

Turut terbabit, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

Pada 14 Mei lalu, Dzulkifli memohon untuk menamatkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menerusi satu surat rasmi kepada Ali dan beliau kemudiannya kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Beliau dilantik sebagai 'orang nombor satu' SPRM bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos 2016 sebelum ini adalah Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara. - UTUSAN ONLINE