Sam, 34, bagaimanapun, tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut kerana pihaknya masih lagi dalam perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya tidak boleh bercerita panjang mengenai isu ini kerana kedua-dua pihak masih lagi berbincang. Kami belum mendapat apa-apa keputusan.

"Apa yang pasti, sebenarnya saya belum muflis sebaliknya hanya mendapat notis dan ia hanyalah proses sebelum diisytiharkan muflis. Sejujurnya, saya berasa sangat lega apabila dimaklumkan bahawa saya tidak muflis lagi.

"Saya berharap perkara ini akan dapat diselesaikan dengan segera," ujar Sam ketika ditemui dalam majlis pelancaran runut bunyi filem Pinjamkan Hatimu di Redbox The Gardens, di sini hari ini.

Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo ini menganggap isu tersebut sebagai satu pengajaran kepadanya untuk sentiasa mengambil tahu mengenai pengurusan kewangan dan pembayaran cukai.

"Saya bersyukur dengan apa yang berlaku kerana ada hikmah di sebaliknya. Sebelum ini mungkin saya tidak mengambil berat soal pengurusan kewangan.

"Kini saya akan lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil tahu urusan dokumentasi lebih-lebih lagi berkaitan hal kewangan sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE