Secara purata, jumlah itu bersamaan seorang kaunselor bagi setiap 1,472 guru.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Psikologi dan Kaunseling kementerian itu, Normazwin Yahya berkata, jumlah kaunselor pada masa ini tidak mencukupi terutama di kawasan yang mempunyai ramai guru.

“Kita mempunyai 326 kaunselor yang ada di (kementerian) di Putrajaya, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, institut pendidikan guru dan matrikulasi.

“Kalau ikutkan dari segi kapasiti, jumlah itu tentunya tidak cukup seperti di daerah besar yang terdapat sehingga 12,000 guru. Memang kita berharap jumlah kaunselor ditambah pada masa depan bagi membantu guru-guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Karnival Transformasi Pendidikan Murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekir di sini hari ini. Yang turut hadir Guru Besar sekolah itu, Maria Teoh Wai Ching.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendedahkan dapatan sebuah kajian pada tahun lalu bahawa terdapat 4.4 peratus daripada 48,258 res_ponden yang terdiri daripada guru mengalami stres tahap sederhana tinggi.

Menurut beliau, keadaan tersebut berpunca daripada pelbagai faktor seperti isu keluarga, kewa­ngan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dan tidak dilatih untuk menangani stres.

Mengulas lanjut, Normazwin berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kaedah untuk guru berkongsi masalah stres atau kemurungan dengan kaunselor antaranya secara bersemuka, panggilan telefon dan e-mel.

Beliau menambah, terdapat beberapa punca guru mengalami stres antaranya beban kerja, masalah rumahtangga dan isu dalaman sesebuah organisasi.

Dalam perkembangan lain, Normazwin berkata, kementerian tersebut meletakkan sasaran untuk melonjakkan sehingga 90 peratus jumlah kehadiran murid-murid Orang Asli ke sekolah setiap hari.

Katanya, melalui Karnival Transformasi Pendidikan Murid Orang Asli, pihaknya mahu memupuk kesedaran kepada ibu bapa masyarakat itu untuk menghantar anak ke sekolah selain menunjukkan sesi pembelajaran yang menye­ronokkan kepada murid-murid.