A. Samad Said yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, semasa menjawab soalan tentang harapannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan dalam usaha mengangkat Sastera Nasional, menyatakan bahawa parti siasah tidak terpesona dengan sastera. Terkadang sastera menjadi bahan ketawa.

Sememangnya begitulah realiti kedudukan sastera di tanah air kita sekarang. Bukan sahaja kerajaan baharu sahaja dibentuk dan belum cukup masa untuk membincangkan kedudukan sastera di negara kita.

Malah kerajaan terdahulu juga bagaikan tidak berupaya mengangkat kedudukan sastera nasional pada tempat selayaknya.

Sehinggakan sastera dipandang enteng, malah adakalanya menjadi terlalu asing dalam kalangan masyarakat.

Hal ini menyebabkan kedengaran suara sayu 'orang sastera' yang bagaikan merintih tentang nasib sastera bangsa yang terpinggir daripada arus gelombang sains dan teknologi.

Sastera dianggap tidak memberikan sebarang pulangan daripada sudut ekonomi dan material.

Fenomena ini sudah tentunya amat berbeza sekali dengan kedudukan sastera pada zaman pra merdeka.

Pada masa tersebut, munculnya gerakan-gerakan perjuangan yang dipelopori oleh orang sastera dengan menggunakan karya sastera sebagai medium atau senjatanya.

Penubuhan Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50, pada 6 Ogos 1950 yang melaungkan slogan 'Seni Untuk Masyarakat' oleh beberapa orang penulis terkenal.

Antaranya seperti sasterawan negara Usman Awang, Keris Mas, Masuri SN, Awam Il-Sarkam, Arif dan Hamzah yang melarikan diri ke Singapura.

Ini disebabkan oleh tekanan penjajah Inggeris merupakan bukti nyata betapa sastera pada zaman itu bukanlah bahan jenaka, sebaliknya menjadi senjata utuh menentang penjajah.

Begitu juga dengan peranan penting sasterawan terkenal Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang menghasilkan beberapa buah novel termasuk novel Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan.

Kegigihan dan semangat perjuangan Pak Sako menentang penjajah menyebabkan sidang pengarang akhbar Utusan Melayu pada tahun 1935-1941 ini merengkok dua kali di dalam penjara.

Walau bagaimanapun, pengorbanan dan perjuangan Pak Sako bermediumkan sastera ini telah mendapat pengiktirafan apabila Universiti Malaya telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada tahun 1973.

Manakala pada 29 Mei 1976, Pak Sako dianugerahkan pula sebagai 'Pejuang Sastera' oleh Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Nasib

Berbalik kepada kedudukan sastera di negara kita sekarang, ternyata ada usaha-usaha untuk mendekatkan golongan pelajar dan remaja kepada sastera dengan pelaksanaan Komsas di sekolah menengah.

Namun, Komsas hanya sekadar mampu menjadikan pelajar tersebut membaca karya sastera yang ditetapkan untuk melepasi ujian atau peperiksaan di sekolah sahaja.

Minat terhadap sastera yang cuba disogok menerusi pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran Komsas di dalam kelas nampaknya tidak mampu sepenuhnya menepati sasaran yang diharapkan.

Walaupun tidak dinafikan wujudnya kalangan remaja yang sudah mahu mendekati sastera setelah mengikuti Komsas ini, namun jumlahnya boleh dihitung dengan jari.

Lebih ramai lagi remaja yang menghumban teks sastera Komsas setelah tamat zaman persekolahannya ke dalam setor atau almari berkunci rapat dan tidak mencarinya lagi.

Tidak kurang pula dalam kalangan lepasan sekolah ini yang menarik nafas lega kerana beban semasa mengikuti Komsas tidak perlu ditanggung lagi setelah melangkah keluar dari bangku sekolah.

Ada pula kalangan remaja ini, hanya tersenyum malah ada yang tidak segan silu tertawa berdekah-dekah, tatkala berbicara bersama-sama rakan bekas pelajar yang pernah mengikuti Komsas ini.

Bagi mereka, ilmu dan pengalaman mempelajari sastera dalam Komsas hanya setakat untuk memecah derai tertawa sesama mereka semasa berbual tentang kisah lama, setelah tidak lagi bergelar pelajar sekolah.

Begitu juga, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang ditawarkan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin kurang diberi perhatian.

Menjadikan semakin bertambah pula saban tahun, jumlah sekolah yang menolak mata pelajaran ini untuk dijadikan mata pelajaran elektif pelajarnya dengan pelbagai alasan tertentu.

Situasi ini menyebabkan jumlah calon SPM yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semakin mengecil.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan suatu hari nanti, mata pelajaran ini tidak akan wujud lagi di sekolah-sekolah di Malaysia.

Sehubungan itu, tidak hairan jika buku-buku sastera khususnya novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi atau kumpulan drama tidak lagi menjadi tarikan kepada kalangan remaja lepasan sekolah ini untuk terus membacanya, jauh sekali membelinya.

Malah, tidak hairan juga jika majalah-majalah sastera seperti Dewan Sastera atau Tunas Cipta turut mengalami nasib yang sama dengan buku-buku karya sastera.

Lebih menyedihkan lagi apabila ada remaja yang menjeling atau tersengih jika terdapat kalangan rakan-rakannya yang membeli dan membaca buku atau majalah-majalah sastera ini.

Perlu diingat, generasi pelajar dan remaja inilah yang akan mencorakkan warna sastera bangsa kita suatu hari nanti.

Berdasarkan situasi-situasi di atas ternyata jawapan SN Datuk A Samad Said tentang 'sastera jadi bahan ketawa', agak sukar untuk dinafikan.

Sastera bukan sahaja sudah menjadi suatu unsur ketawa atau lucu, malah turut dijadikan bahan sindiran.

Ada dalam kalangan masyarakat pula menganggap peminat atau penggiat sastera adalah golongan yang ketinggalan dan suka berkhayal.

Mereka turut menganggap membaca karya sastera merupakan suatu tugas yang sukar dan membosankan kerana bahasa orang sastera dikatakan dipenuhi dengan bahasa yang berbunga-bunga.

Sebenarnya, sastera kita adalah hak milik bangsa kita. Walaupun bahasa sastera sering menjadi pertikaian, perbalahan, perbandingan atau bahan tertawa, namun kita harus akur dengan kebijaksanaan masyarakat terdahulu menghasilkan karya.

Kita seharusnya ingat bahawa sastera adalah warisan dan jati diri bangsa. Betapa majunya diri dan bangsa kita, warisan dan jati diri tidak harus dipinggirkan.

Kitalah yang bertanggungjawab untuk tidak membiarkan sastera kita menjadi bahan ketawa lagi!