Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, biarpun begitu sasaran tersebut memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk dicapai.

“Boleh capai, tapi kita kena mengambil masa sedikit dan perlu menjadi negara maju 2020. Kalau kita hendak bandingkan dengan Singapura mereka mempunyai angkatan tentera udara yang terbesar di rantau ASEAN.

“Singapura mempunyai pesawat-pesawat yang canggih tetapi kita ambil jalan lain iaitu kita lebih menguasai teknologi pembuatan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan LIMA 2015 berkata, Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 akan meletakkan Malaysia sebagai negara utama yang terlibat dalam industri itu di rantau ini.

Menurut Perdana Menteri, sehubungan itu beberapa inisiatif utama akan digerakkan bagi membolehkan Malaysia memasuki pa­sa­ran baharu dan industri aeroangkasa yang lebih canggih.

Sementara itu, Dr. Mahathir menyifatkan LIMA 2015 telah mencapai kejayaan terbesar sejak penganjurannya kerana mendapat penyertaan lebih daripada 100 pesawat.

“Ini LIMA yang terbesar sejak kita anjurkan. Apa yang menarik ialah syarikat-syarikat Malaysia boleh dikatakan setengah daripada pempamer di sini.

“Ini menunjuk kemajuan yang telah dicapai berbanding ketika LIMA dimulakan, tidak ada satu syarikat tempatan pun yang mengambil bahagian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pencapaian tersebut dapat diperoleh disebabkan rakyat negara ini telah dapat menguasai kemajuan dalam bidang elektronik, kawalan kapal terbang dan pelbagai bidang teknologi tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha Malaysia untuk mempertingkatkan teknologi ketenteraan negara bukan disebabkan untuk berperang dengan mana-mana negara.

“Kita mempertingkatkan teknologi angkatan tentera bukan kerana mahu berperang dengan orang. Kita menguasai teknologi kerana tidak mahu ketinggalan di belakang.

“Kalau kita mahu berlumba-lumba dengan negara lain kosnya amat tinggi sedangkan alat yang dibeli, kita mungkin tidak dapat gunakan langsung kerana kita tidak berperang dengan sesiapa,” katanya.